Now Reading
Wanita Ini Kongsi Tips ‘Extra’ Untuk Persediaan Majlis Sanding Buat Bakal Pengantin. Take Note!

Wanita Ini Kongsi Tips ‘Extra’ Untuk Persediaan Majlis Sanding Buat Bakal Pengantin. Take Note!

Antara tips yang diberikan adalah penyediaan ‘guidebook’ untuk para tetamu serta dek ringkas bagi kegunaan jurugambar dan juruvideo.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm atau ikuti berita kami menerusi aplikasi Lumi News untuk updates terkini & relevan!


Perkahwinan merupakan majlis istimewa yang dijalankan sekali seumur hidup. Sudah tentu pasangan bakal pengantin mahukan majlis persandingan mengikut impian mereka dan supaya ia berjalan dengan lancar.

Persediaan untuk majlis persandingan perlu dimulakan sekurang-kurangnya setahun sebelum majlis berlangsung. Pelbagai perkara perlu disediakan dan dimasukkan ke dalam perancangan bagi majlis perkahwinan.

Harus diingatkan bahawa pasangan bukan sahaja perlu melakukan persediaan bagi kenduri kahwin, tetapi juga bagi majlis lain sebelum itu seperti sesi bertunang, majlis akad nikah dan malam berinai.

Oleh itu, penggunaan ‘checklist’ atau senarai semak akan memudahkan proses persediaan dan dapat memastikan tiada sebarang perkara terlepas pandang.

Pasangan juga boleh merujuk kepada perkongsian oleh individu lain berkenaan majlis perkahwinan mereka.


Individu Kongsi Perkara ‘Extra’ Yang Disediakan Bagi Majlis Persandingan

Seorang pengguna Twitter iaitu Rehanna Razif (@rehannarazif) telah melangsungkan majlis persandingannya pada Februari 2023. Dia berkongsi beberapa perkara ‘extra’ dilakukannya sebagai pengantin yang dirasakan amat berguna bagi bakal pengantin lain.

Rehanna menyediakan ‘guidebook’ atau panduan untuk tetamu yang merangkumi perjalanan majlis, tips dan peringatan bagi tetamu, serta panduan untuk ke lokasi kenduri.

Antara peringatan dan tips yang diberikan kepada para tetamu adalah berkenaan tempat meletak kenderaan, kod pakaian yang dibenarkan, dan menu bagi majlis persandingan.

‘Guidebook’ tersebut turut merangkumi panduan pemberian hadiah yang akan membantu para tetamu memilih barangan diingini oleh pasangan raja sehari itu. Sebagai tambahan, panduan pemberian hadiah juga boleh dilakukan melalui ‘wedding registry’ dalam talian seperti MyRegistry dan Amazon Wedding Registry.

Menurut Rehanna, ‘guidebook’ bagi majlis persandingannya direka sendiri menggunakan Canva dan dikongsi kepada tetamu dalam bentuk dokumen PDF bersama-sama nombor meja.


Dek Ringkas Bagi Gambar & Video, Serta Papan Mood Bagi ‘Make Up’ & Pakaian Pengantin

Selain itu, Rehanna turut menyediakan dek ringkas bagi jurugambar dan juruvideo yang bertugas ketika majlis persandingan.

Dek tersebut mengandungi pengarahan kreatif oleh pasangan pengantin seperti mood dan nilai estetika gambar, muzik dan jalan cerita video, serta beberapa individu penting yang perlu diberikan lebih fokus.

Sudah tentu ‘make-up’ dan pakaian pengantin merupakan salah satu komponen yang paling penting bagi majlis persandingan. Rehanna turut menyediakan papan mood bagi ‘make up artist’ dan tukang jahit pakaian pengantin.

Bagi jurugambar, juruvideo, tukang solek dan tukang jahit, Rehanna menekankan supaya pengantin menggunakan hasil karya lepas mereka sebagai ‘benchmark’ bagi hasil yang diinginkan.

Rehanna berkata kita tidak seharusnya menggunakan karya daripada individu lain ke atas vendor yang telah dipilih kerana mereka masing-masing mempunyai bakat dan keupayaan yang berbeza.


‘Sheet Tracker’ Untuk Menjejak Perkara & Perbelanjaan Majlis Persandingan

Di samping itu, Rehanna menyediakan ‘sheet tracker’ bagi persediaan keseluruhan majlis perkahwinannya.

‘Tracker’ tersebut merangkumi kesemua perkara dan perancangan bagi majlis perkahwinan seperti tempat majlis, makanan dan minuman, ‘doorgift’, serta vendor terlibat.

‘Tracker’ yang disediakan Rehanna menggunakan Google Sheet turut menyenaraikan kos dan bayaran, serta status bagi satu-satu perkara.

Dia juga berkata pasangan pengantin dengan bajet besar boleh mengupah penyelaras perkahwinan. Dengan bantuan penyelaras perkahwinan, pengantin tidak perlu risau tentang logistik ketika hari persandingan.

Malah, keluarga pengantin juga dapat menikmati majlis dengan tenang dan bergaul dengan para tetamu.


Persediaan Pengantin Bagi Sesi Akad Nikah Dan Malam Berinai

Tidak dilupa juga pasangan bakal pengantin perlu membuat persediaan bagi sesi nikah dan malam berinai sebelum majlis persandingan.

Perkara penting perlu dilakukan sebelum sesi nikah adalah menjalani kursus kahwin, menghantar borang permohonan perkahwinan ke pejabat agama, serta melakukan ujian HIV dan talassemia.

Selain itu, keluarga pengantin belah perempuan perlu berhubungan dengan tok kadi dan saksi bagi proses akad nikah. Bakal pengantin lelaki pula perlu menyediakan mas kahwin dan wang hantaran jika ada untuk pengantin wanita, serta wang bayaran bagi tok kadi.

Pada masa yang sama, bagi pasangan bakal pengantin yang menyediakan barang hantaran perlu memastikan barang hantaran mencukupi dan dihias di atas dulang hantaran.

Gambar sekadar hiasan. Sumber gambar: Muktasim Azlan/ Unsplash

Di samping itu, mungkin sesetengah bakal pengantin wanita menjalankan sesi malam berinai sebelum majlis akad nikah mereka. Jadi penting untuk mereka menghubungi artis henna dan memilih rekaan yang diingini.

Bakal pengantin wanita juga diingatkan supaya memakai pakaian yang bersesuaian ketika malam berinai.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2021 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd