Now Reading
Sanusi Dakwa Pulau Pinang Hak Milik Kedah, Perlembagaan Persekutuan Buktikan Sebaliknya

Sanusi Dakwa Pulau Pinang Hak Milik Kedah, Perlembagaan Persekutuan Buktikan Sebaliknya

Muhammad Sanusi berkata Pulau Pinang adalah kepunyaan Kedah kerana tiada sebarang sempadan antara kedua kawasan tersebut.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm atau ikuti berita kami menerusi aplikasi Lumi News untuk updates terkini & relevan!


Ketika ditemui di Majlis Menandatangani Perjanjian Sempadan Darat dan Maritim Antara Kedah Perlis di Wisma Darul Aman pada 29 Mei, Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata bahawa Pulau Pinang adalah sebahagian daripada Kedah, lapor Harian Metro.

Menurutnya, tiada sebarang sempadan yang ditetapkan antara Pulau Pinang dan Kedah, tetapi Kedah cuma mempunyai sempadan antara Perak serta Perlis.

Saya tunggu Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), kalau ada asas ditentu sahkan sempadan Kedah dengan negeri jiran lain. Yang saya tau Pulau Pinang itu Kedah punya.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor

Apabila ditanya jika kerajaan Kedah mahu Pulau Pinang dikembalikan, Sanusi berkata perkara itu tidak perlu kerana Pulau Pinang tidak pernah ‘terlepas’ dari Kedah.


Sejarah Pulau Pinang-Kedah

Mari kita menyelusuri sedikit sejarah berkenaan pembukaan Pulau Pinang sebelum pembentukan Persekutuan Tanah Melayu.

Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Dr Ibrahim Bakar berkata Pulau Pinang adalah hak milik Kedah sejak awal lagi. Namun begitu, keadaan mula berubah apabila Sultan Abdullah memeteraikan sebuah perjanjian dengan Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) yang diwakili oleh Francis Light.

Ibrahim membahagikan pendudukan Pulau Pinang oleh Inggeris kepada tiga fasa iaitu pendudukan haram (fasa pertama), pendudukan permaksaan (fasa kedua) dan perjanjian berat sebelah Seberang Perai (fasa ketiga). 

Pulau Pinang dahulu merupakan sebahagian daripada wilayah yang ditadbir oleh Sultan Kedah, Sultan Abdullah Mukarram Shah. Setelah menghadapi serangan daripada wilayah Siam pada tahun 1785, sebuah perjanjian antara SHTI dan Sultan Abdullah termaktub.

Di bawah Perjanjian Inggeris-Kedah 1786, Sultan Abdullah membenarkan SHTI menduduki Pulau Pinang yang dinamakan Prince of Wales Island, manakala SHTI perlu memberikan perlindungan ketenteraan kepada Kedah.

Kemudian, di bawah pemerintahan Sultan Dhiauddin Mukarram Shah II, Perjanjian Inggeris-Kedah 1800 pula termeterai. Di bawah perjanjian ini, Pulau Pinang dan Seberang Perai (Province Wellesley) diserahkan kepada SHTI dengan pampasan sebanyak 10,000 dolar Sepanyol setahun.


Keabsahan Pulau Pinang Sebagai Negeri Berdaulat

Walaupun dari segi sejarah jelas bahawa Pulau Pinang dimiliki Kedah dahulu, namun perkara tersebut telah berubah dengan kedatangan pihak British dan pertubuhan Persekutuan Tanah Melayu. 

Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Ramkarpal Sigh berkata Pulau Pinang telah diiktiraf sebagai sebuah negeri di bawah kumpulan Negeri-negeri Selat, yang merangkumi Singapura dan Melaka, di bawah pentadbiran SHTI.

Pulau Pinang dan Province Wellesley diiktiraf sebagai sebuah negeri berdaulat apabila termaktubnya beberapa perjanjian iaitu Perjanjian Kedah-Inggeris 1923, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, antara negeri Kedah dan pihak British. 

Menurut Ahli Majlis Profesor Negara (Kluster Politik, Governan dan Undang-Undang), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod, Perlembagaan Persekutuan (menurut Perkara 1(2)) jelas mengiktiraf Pulau Pinang sebagai salah satu daripada 13 negeri yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu. 

Perkara ini menunjukkan bahawa Pulau Pinang merupakan sebuah negeri sendiri dan bukanlah sebahagian daripada Kedah. 

Ramkarpal turut berkata Perkara 71(1) Perlembagaan Persekutuan menjamin setiap negeri di bawah Persekutuan mempunyai sebuah Perlembagaan Negeri masing-masing yang memperuntukkan cara pengendalian Kerajaan Negeri. Perkara ini termasuk bagi Pulau Pinang yang diiktiraf statusnya sebagai sebuah negeri. 

Di samping itu, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, menjelaskan enakmen negeri bagi Pulau Pinang dan Kedah telah diwartakan dengan penggarisan sempadan negeri di “garis pusat” Sungai Muda pada tahun 1985. Di bawah enakmen tersebut, Pulau Pinang memiliki sebahagian daripada Sungai Muda dan mempunyai hak untuk mengambil air daripada sungai tersebut.

Selain itu, terdapat juga batu penanda sempadan di Pinang Tunggal yang bertujuan membahagikan kawasan antara Kedah dan Pulau Pinang.


Pulau Pinang Bukan Milik Kedah

Sejarah membuktikan bahawa Pulau Pinang adalah kepunyaan Kedah ketika zaman pemerintahan Sultan Abdullah dan sultan berikutnya, namun kini jelas Pulau Pinang merupakan sebuah entiti sendiri. Di bawah Perlembagaan Persekutuan, Pulau Pinang diiktiraf sebagai sebuah negeri di Persekutuan Tanah Melayu.

Walaupun dikatakan perjanjian-perjanjian yang termeterai sebelum ini tidak menyatakan pemindahan keluar Pulau Pinang daripada Kedah, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 menjadi asas pengiktirafan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri berdaulat. 

Malah, Akta Kedah dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) 1985 (Akta 325) telah digubal bagi menentukan sempadan antara Pulau Pinang dan Kedah, membuktikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang berasingan dari Kedah.

Digubal berdasarkan Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan, akta tersebut turut dipersetujui oleh Majlis Raja-raja Melayu. Ia mengandungi undang-undang konklusif dan merupakan perjanjian yang sah antara kedua-dua negeri tersebut.

Berdasarkan data oleh Jabatan Perangkaan Negara, Pulau Pinang merupakan negeri dengan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi bagi tahun 2021, dengan peningkatan KDNK sebanyak 6.8% melebihi kadar peningkatan KDNK negara 3.1%. Pulau Pinang juga merupakan negeri Semenanjung kedua KDNK per kapita tertinggi selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (yang digabung dengan Putrajaya).

Sumber: Jabatan Perangkaan Negara

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd