Now Reading
Hanya Dapat Cuti Paterniti 2 Hari, Lelaki Terkilan Isteri Meninggal Dunia Dalam Pantang

Hanya Dapat Cuti Paterniti 2 Hari, Lelaki Terkilan Isteri Meninggal Dunia Dalam Pantang

Exly Jailon menemukan jasad isterinya telah kaku dengan bayi menangis di sisinya sebaik sahaja pulang dari tempat kerja pada 9 Mei lalu.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm atau ikuti berita kami menerusi aplikasi Lumi News untuk updates terkini & relevan!


Kegembiraan seorang bapa, Exly Jailon yang baru sahaja menyambut kelahiran cahaya mata bertukar menjadi tragedi apabila diuji dengan pemergian isterinya pada 9 Mei lalu, selepas hanya empat hari melahirkan anak mereka.

Kisah sedih tersebut dikongsikan oleh Exly menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.

Menurut Exly, setibanya di rumah selepas pulang dari kerja, dia mendapati isterinya sudah tidak lagi bernyawa. Bayinya pula yang berada di sisi mendiang sedang menangis kelaparan.

Berkerja di sebuah syarikat di Sabah yang baru beroperasi selama enam bulan, Exly hanya diberi cuti paterniti selama dua hari sahaja sebelum disuruh kembali ke tempat kerja.

Majikannya dilaporkan berkata ‘bagus lagi kalau kau turun kerja’ ketika Exly memohon untuk mengambil cuti paterniti. Dia juga terpaksa menggunakan cuti tahunannya pada 8 Mei untuk membawa isteri dan anaknya ke pemeriksaan kesihatan.

Sumber: Exly Jailon/ Facebook

Hanya Diberi Cuti Tanpa Gaji 13 Hari Sewaktu Tempoh Berkabung

Ketika Exly sedang cuti berkabung, syarikat tersebut turut menyuruhnya mengambil cuti tanpa gaji selama 13 hari.

Kalau cakap awal-awal boleh cuti tapi tak dapat gaji, saya boleh terima. Tapi sebab komitmen saya kerja betul-betul. Tak pernah curi tulang walaupun buat kerja seorang diri.

Exly Jailon

Malah, sebelum ini, Exly juga pernah disuruh bekerja sewaktu cuti umum Good Friday tanpa menerima gaji berganda. Kini, dia berasa tawar hati untuk terus bekerja dengan majikan tersebut.

Melalui perkongsian di laman Facebook, Exly sekarang didapati sedang mengalami anxiety. Katanya dia menangisi pemergian isterinya setiap hari.


Tiada Cuti Paterniti Dalam Ordinan Buruh Sabah

Sebagai rekod, setelah pindaan dilakukan pada tahun 2022, Akta Kerja 1955 kini mewajibkan majikan untuk memberikan cuti paterniti selama tujuh hari berbanding hanya tiga hari sebelum itu.

Namun begitu, memandangkan Exly bekerja di Sabah, majikannya tertakluk kepada undang-undang di bawah Ordinan Buruh Sabah. Hasil carian kami mendapati tiada sebarang seksyen di dalam ordinan tersebut yang menyebut tentang hak cuti paterniti oleh bapa.

Harayanie Haraa, rakan kepada Exly, mempersoalkan perbezaan undang-undang cuti paterniti di Sabah dan di Semenanjung di dalam sebuah hantaran Facebook. Dia juga meminta supaya undang-undang berkenaan hak perkerja di Sabah diteliti semula dan dipinda mengikut kesesuaian.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak pekerja telah menghubungi Exly untuk menggunakan kisahnya sebagai kempen. Mereka ingin meminta pindaan dilakukan ke atas Ordinan Buruh Sabah, termasuk cuti paterniti tujuh hari seperti di Semenanjung Malaysia.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd