Now Reading
Bersalin Di Hospital Kerajaan Terlalu Murah, Macam Harga 2 Orang Makan McD

Bersalin Di Hospital Kerajaan Terlalu Murah, Macam Harga 2 Orang Makan McD

Seorang pengguna Twitter berkongsi hanya perlu membayar RM42 untuk kos bersalin 4 hari, 3 malam termasuk kos epidural dan vaksin BCG bayi.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm atau ikuti berita kami menerusi aplikasi Lumi News untuk updates terkini & relevan!


Bagi ibu yang sedang hamil, sudah tentu anda telah survey nak melahirkan anak di hospital mana. Terdapat ibu yang memilih untuk bersalin di hospital yang berada di kampung supaya dekat dengan keluarganya dan mudah untuk berpantang.

Mungkin juga ada ibu yang survey pilihan hospital swasta dengan pelbagai pakej bersalin yang ditawarkan. Sudah tentu bersalin di hospital swasta akan memakan kos yang tinggi sehingga beribu ringgit, terutamanya jika terdapat sebarang komplikasi.

Namun begitu, tahukah anda kalau bersalin di hospital kerajaan, sebahagian besar kos bersalin akan disubsidi oleh kerajaan? Harga yang perlu dibayar akhirnya akan menjadi sangat murah!

Itulah yang dikongsikan oleh seorang pengguna Twitter, @pelisahh baru-baru ini. Menurutnya, dia hanya perlu membayar RM42 untuk kos bersalin selama empat hari dan tiga malam di Hospital Shah Alam. Katanya, harga tersebut sama macam bayar McD untuk makan dua orang!

Dapat dilihat daripada resit yang dikongsikan, kos yang disubsidi oleh kerajaan adalah sebanyak RM4,371. Memandangkan Pelisahh perlu membayar RM42, kos keseluruhan adalah berjumlah RM4,413. Ini bermakna 99% daripada kos bersalin tersebut disubsidi oleh kerajaan!

Pelisahh berkata harga RM42 tersebut termasuk kos bersalin, epidural, dua suntikan ketika bersalin dan vaksin BCG bagi bayi.

Namun katanya, satu-satunya kekurangan bersalin di hospital kerajaan adalah ibu tidak boleh ditemani sesiapa walaupun suaminya sendiri. Walaupun terdapat jururawat di sana, tetapi sudah tentu mereka tidak cukup tangan untuk membantu perkara-perkara remeh.

Ramai yang bertanya jika harga ini terpakai hanya untuk penjawat awam, tetapi menurutnya kedua-dua dia dan suaminya tidak berkerja di bawah kerajaan.

Sehubungan dengan itu, ramai yang memberi maklum balas dan menyatakan bahawa kos bersalin bagi penjawat awam di hospital kerajaan adalah percuma.


Pengalaman Bersalin Di Hospital Kerajaan

Seperti Pelisahh, penulis bagi hantaran kali ini juga mempunyai pengalaman bersalin di hospital kerajaan. Kos yang perlu dibayar bagi bersalin dan rawatan bayi bagi jaundice di wad bayi selama dua malam adalah kurang daripada RM50.

Mungkin ramai yang menganggap perkhidmatan di hospital kerajaan tidak bagus seperti di hospital swasta. Sudah tentu ada yang mendapat pengalaman pahit bersalin di hospital kerajaan, tetapi ada juga yang berpuas hati dengan perkhidmatan yang diterima.

Walaupun ibu tidak dapat ditemani seorang penjaga, namun jururawat yang bertugas bersedia untuk membantu semampu mereka. Berdasarkan pengalaman penulis di wad bersalin Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, jururawat turut menolong ibu untuk membersihkan dan menyiapkan bayi.

Malah, terdapat juga jururawat yang sentiasa bertanyakan keadaan ibu dan turut memapah ibu yang hendak ke tandas.

Setelah memasuki wad bayi untuk rawatan jaundice bayi, terdapat jururawat yang mengajar cara untuk menyusukan anak.

Namun begitu, jururawat di sana tidak begitu memberi perhatian kepada satu-satu bayi mungkin kerana jumlah bayi yang terlalu ramai ketika itu.

Kekurangan lain yang dihadapi juga adalah wad bayi terlalu sesak sehingga terdapat ibu yang terpaksa duduk di kerusi malas lipat sementara menunggu katil kosong.

Di samping itu, wad awam di sana juga tidak mempunyai pendingin hawa dan keadaan boleh menjadi sangat panas. Perkara ini menyebabkan bukan sahaja ibu, tetapi juga bayi berasa tidak selesa dan sering merengek.

Apapun, bersyukur sebab perkhidmatan yang diterima sangat berpatutan dengan kos yang perlu dibayar dan amat menjimatkan bagi ibu bapa yang tidak berkemampuan untuk ke hospital swasta.

BACA JUGA: Kualiti Sama, Harga Lebih Murah. Beli Barang Bayi ‘Preloved’ Jauh Lebih Jimat Untuk Ibu Ayah Kali Pertama


Rawatan Bagi Bayi & Kanak-Kanak Pun Murah

Selain daripada kos bersalin, orang ramai juga berkongsi kos perlu dibayar bagi rawatan dan pemeriksaan bayi serta anak-kanak.

Menurut Lily, kos bersalinnya hanya RM6 untuk satu malam. Walau bagaimanapun, bayinya perlu dimasukkan ke NICU selama dua bulan dan dia cuma perlu membayar sekitar RM300.

Anak saudara perempuan bagi Aida juga dimasukkan ke NICU. Bagi tempoh lebih empat bulan, bil yang perlu dibayar hanya sebanyak RM582.

Seorang lagi pengguna Twitter berkongsi tentang anaknya yang perlu dimasukkan ke PICU kerana kegagalan organ. Kerana rawatan tersebut termasuk penggunaan pelbagai mesin seperti mesin MRI, bilnya mencecah RM32,000. Namun setelah ditolak subsidi, dia hanya perlu membayar RM500 sahaja.

Anaknya kemudian perlu mendapatkan rawatan terapi yang hanya berharga RM5.


Rawatan Di Klinik Kesihatan Hanya RM1

Pernah tak anda ke Klinik Kesihatan untuk mendapatkan rundingan atau rawatan doktor? Jika belum pernah, caj rawatan di Klinik Kesihatan rata-rata hanyalah sebanyak RM1 sahaja!

Bayaran RM1 tersebut termasuk pemeriksaan seperti ujian darah atau x-ray, konsultasi, rawatan jika ada, serta ubat-ubatan. Kalau pergi klinik swasta, kos bagi rawatan demam pun boleh cecah RM50.

Terdapat tanggapan bahawa Klinik Kesihatan dan hospital kerajaan tidak cukup bagus berbanding klinik dan hospital swasta.

Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah kes yang tidak akan diterima oleh hospital swasta seperti yang terjadi kepada personaliti media sosial, Adira Salahudi yang ketika itu berhadapan risiko melahirkan anak tidak cukup bulan.

Seringkali, hospital swasta akan merujuk kes-kes yang berisiko kepada hospital kerajaan. Bukan sahaja hospital kerajaan jauh lebih murah, tetapi juga mempunyai lebih ramai doktor pakar dan pelbagai kemudahan perubatan.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd