Apa Nak Buat Kalau Tersalah Isi Minyak Diesel Pada Kereta Petrol? Ini Yang Anda Wajib Tahu
Kedua-dua petrol dan diesel mempunyai sifat yang berbeza. Oleh itu, mekanisme kerja enjin petrol dan diesel juga tidak sama.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm atau ikuti berita kami menerusi aplikasi Lumi News untuk updates terkini & relevan!
Umum mengetahui, dua jenis bahan api yang paling kerap digunakan bagi menggerakkan sesebuah kenderaan adalah petrol dan diesel.
Meskipun ia dianggap satu perkara asas buat pemandu kenderaan, tetapi masih ada segelintir individu yang tersalah isi jenis bahan api pada keretanya.
Jadi, apa yang anda harus lakukan sekirannya tersalah isi bahan api diesel ke dalam kereta petrol? Dan apakah kesan terhadap enjin.
Bahan api diesel dan petrol punyai sifat berbeza
Menurut acko drive, kedua-dua petrol dan diesel mempunyai sifat yang berbeza. Oleh itu, mekanisme kerja enjin petrol dan diesel juga tidak sama.
Disebabkan itu, jika anda salah mengisi jenis minyak ke dalam kereta ia boleh menyebabkan kerosakan komponen dalaman enjin.
Secara logiknya, agak susah untuk menemui kes di mana kereta diesel mengisi petrol kerana kebanyakan pemandu jenis kenderaan ini sudah arif dan tahu jenis minyak yang harus digunakan.
Namun, terdapat banyak kes di mana pemandu kereta petrol mengisi diesel. Terutamanya yang baru belajar memandu dan cuba mengisi bahan api secara sendiri.
Berikut merupakan simptom-simpton yang dialami sekiranya terisi diesel ke dalam enjin petrol:
- Asap hitam akan keluar daripada bahagian ekzos akibat pembakaran dalam enjin yang tak sempurna.
- Enjin akan mula tersengguk-senguk dan hilang daya.
- Tidak lama selepas itu, enjin akan mati dan tidak dapat dihidupkan lagi.
Apa yang perlu buat kalau dah terisi bahan api yang salah?
Kesilapan mengisi bahan api adalah satu insiden yang tidak diinginkan, tetapi lebih baik sekiranya kita mengetahui apa yang perlu dibuat dan apa yang tidak sepatutnya dilakukan sekirannya perkara ini terjadi.
Ini kerana dengan melakukan langkah-langkah yang betul sebaik menyedari anda tersalah isi bahan api dapat membantu mengurangkan kerosakan pada enjin.
Jika sedar semasa mengisi bahan api
Jika anda menyedari kesilapan tersebut semasa mengisi diesel dalam kereta petrol, anda tidak perlu risau kerana jika anda mengisi diesel kurang daripada 5% daripada kapasiti tangki keseluruhan, yang perlu anda lakukan hanyalah mengisi sisa tangki dengan petrol.
Ini kerana bahan api jenis diesel mudah bercampur dengan petrol, anda boleh terus memandu tanpa ada masalah.
Pun begitu, untuk mengelakkan pencemaran bahan api, lebih baik menyalurkan diesel keluar dari tangki dan membilasnya dengan petrol.
Tetapi ini memerlukan anda untuk menunda kenderaan ke pusat servis.
Jika sedar selepas mengisi bahan api
Jika anda menyedari kesilapan tersebut selepas mengisi diesel lebih daripada 5% daripada kapasiti tangki, jangan khuatir situasi ini masih boleh dikawal.
Apa yang anda harus lakukan adalah jangan hidupkan enjin dan segera panggil perkhidmatan trak tunda.
Selepas itu, tunda kenderaan anda ke pusat servis untuk keluarkan bahan api yang lama dari tangki. Setelah selesai, bilas tangki dan isi dengan petrol.
Jika sedar selepas menghidupkan enjin
Sekiranya anda telah menghidupkan enjin selepas mengisi diesel dalam kereta petrol, matikan enjin dengan segera.
Tunda kenderaan ke pusat servis, salurkan (drain) bahan api lama keluar dan bilas (flush) tangki.
Selain itu, ruang saluran bahan api juga perlu dibersihkan sepenuhnya dengan petrol.
Jika sedar selepas memandu kereta
Ini merupakan situasi yang paling buruk dan berisiko menyebabkan masalah engin yang lebih serius.
Namun jangan panik, sebaik sedar anda tersalah isi jenis bahan api semasa memandu, segera berhentikan kenderaan di kawasan yang selamat dan matikan enjin.
Panggil bantuan mekanik atau perkhidmatan trak tunda dan hantar kereta ke stesen servis yang terdekat.
Bersihkan tangki dan ruang salurannya sebelum bilas dengan petrol untuk mengelakkan pencemaran bahan api.
Perkara sebegini sebaiknya dielakkan daripada terjadi dengan sentiasa memeriksa dan peka terhadap jenis bahan api sebelum mengisi.
Namun sekiranya berlaku, kami berharap agar berkongsian ini dapat membantu anda semua daripada menghadapi masalah enjin yang lebih serius serta memakan belanja yang besar untuk membaiki.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.