Now Reading
Budak 11 Tahun ‘Jamah’ Biskut Ganja Buatan Bapa Kini Dirawat Di Hospital

Budak 11 Tahun ‘Jamah’ Biskut Ganja Buatan Bapa Kini Dirawat Di Hospital

Kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun mengalami sesak nafas, pening kepala dan loya kerana termakan biskut coklat mengandungi ganja buatan bapa sendiri.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm atau ikuti berita kami menerusi aplikasi Lumi News untuk updates terkini & relevan!


Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dimasukkan hospital akibat termakan biskut coklat yang disyaki mengandungi kanabis atau ganja, lapor The Vibes. Biskut coklat tersebut didakwa telah dihasilkan sendiri oleh bapanya.

Setelah memakan biskut tersebut, kanak-kanak berkenaan didapati mengalami sesak nafas, pening kepala dan loya sebelum dikejarkan ke Hospital Gerik oleh bapanya.

Namun begitu, kanak-kanak tersebut tidak dapat menjalani ujian air kencing untuk memeriksa jika badannya mengandungi kanabis kerana pegawai kesihatan mengutamakan rawatannya.

Dia kemudiannya dirujuk ke Hospital Taiping untuk pemeriksaan dan rawatan susulan.

Ketua polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata polis menerima maklumat tersebut daripada seorang pembantu perubatan di Klinik Kesihatan Lawin, Gerik pada 29 Mei (Isnin) jam 10.26 malam.


Bapa Mangsa Positif Dadah Tetrahydrocannabinol (THC)

Bapa kepada mangsa yang merupakan seorang penoreh getah berusia 38 tahun telah menjalani ujian air kencing dan didapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC), iaitu sejenis bahan kimia di dalam ganja.

THC merupakan komponen psikoaktif dan salah satu daripada 113 kanabinoid yang boleh ditemui di dalam pohon ganja.

Suspek telah ditahan oleh polis dan direman sehingga 3 Jun. Dia akan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stok biskut coklat yang disyaki mengandungi ganja turut dirampas untuk tujuan siasatan.

Jika didapati bersalah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Manakala, di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, suspek boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd