Now Reading
Cubaan Bunuh Diri Bukan Lagi Kesalahan Jenayah Di Malaysia

Cubaan Bunuh Diri Bukan Lagi Kesalahan Jenayah Di Malaysia

Pindaan tersebut bertujuan untuk mengurangkan stigma terhadap bunuh diri dan membolehkan individu terlibat mendapatkan bantuan yang diperlukan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm atau ikuti berita kami menerusi aplikasi Lumi News untuk updates terkini & relevan!


Dewan Rakyat telah meluluskan pindaan ke atas Kanun Keseksaan (Pindaan)(No. 2) Bil 2023, melalui undi suara, untuk mengecualikan cubaan bunuh diri sebagai kesalahan jenayah, The Star melaporkan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Refromasi Institusi) Ramkarpal Singh berkata pindaan tersebut yang merangkumi empat klausa akan membatalkan Seksyen 309 di bawah Akta 574 untuk mengecualikan cubaan bunuh diri sebagai kesalahan jenayah.

Ramkarpal berkata kewujudan Seksyen 309, sebuah peruntukan dari abad ke-19, melihat menjenayahkan cubaan bunuh diri sebagai suatu usaha pencegahan.

Menghapuskan Seksyen 309 Akta 574 merupakan sebuah langkah untuk mencegah cubaan bunuh diri dalam negara dan mengurangkan stigma berkenaan isu tersebut. Perkara ini akan memberi ruang kepada individu terbabit untuk mendapatkan bantuan yang diperlukan.

Sebelum ini, Seksyen 309 menghukum sesiapa yang melakukan cubaan membunuh diri dengan hukuman penjara sehingga satu tahun, denda, atau kedua-duanya jika didapati bersalah.

Menurut Ramkarpal, dalam sebuah kajian yang diterbitkan pada tahun 2022, negara-negara yang telah mengubah undang-undangnya atau mewujudkan undang-undang nyah jenayah cubaan bunuh diri menunjukkan penurunan dalam kadar bunuh diri, lapor Malay Mail.

Jika seorang individu dihukum penjara atau berhadapan dengan prosedur undang-undang, perkara ini hanya akan menangguhkan bantuan penjagaan kesihatan kepadanya dan meningkatkan risiko bunuh diri individu tersebut. Sehingga kini, tiada sebarang bukti atau kajian saintifik yang menyokong atau membuktikan undang-undang menjenayahkan cubaan bunuh diri boleh mencegah perbuatan tersebut.

Ramkarpal Singh, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Refromasi Institusi)
Imej: Fail TRP

Subahat Ke Atas Cubaan Bunuh Diri Juga Kesalahan Jenayah

Pindaan tersebut juga akan mengakui subahat ke atas cubaan bunuh diri oleh mana-mana individu sebagai kesalahan jenayah di bawah Seksyen 306 Akta 574.

Di bawah Seksyen 306, sesiapa yang bersubahat dengan tindakan bunuh diri atau cubaan bunuh diri berhadapan dengan hukuman 10 tahun penjara dan denda jika disabit kesalahan.

Pindaan tambahan ini merangkumi menjenayahkan subahat cubaan bunuh diri ke atas kanak-kanak, individu dengan kemampuan terhad, atau individu yang berada di bawah pengaruh alkohol di bawah Seksyen 305.

Ramkarpal berkata pindaan pada Seksyen 305 dan 306 akan merangkumi tindak laku pembuli siber yang didapati bersubahat atau mempengaruhi tindakan bunuh diri oleh kanak-kanak dan individu dengan masalah mental sebagai kesalahan jenayah.

Keputusan ini akan membantu dalam melindungi mangsa daripada tindakan buli siber yang boleh menjurus kepada cubaan bunuh diri.

Tindakan untuk mengecualikan bunuh diri sebagai kesalahan jenayah juga merangkumi pindaan ke atas Kanun Prosedur Jenayah (Pindaan)(No.2) 2023 dan Akta Kesihatan Mental (Pindaan) 2023.

Menurut Malaysiakini, beberapa orang penggubal undang-undang dari blok pembangkang membangkitkan kebimbangan sama ada pindaan tersebut mempertimbangkan pandangan agama dan rangka kerja undang-undang yang digunakan di negara-negara Islam lain.

Ramkarpal menjawab rangka kerja undang-undang bagi negara-negara yang masih menjenayahkan bunuh diri seperti Brunei, Qatar, dan Arab telah dikaji.

Beliau juga berkata bahawa Pakistan telah menghapuskan bunuh diri sebagai kesalahan jenayah. Tambahnya, Jabatan Peguam Negara juga telah berbincang dengan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan pihak berkuasa Syariah untuk mengecualikan cubaan bunuh diri sebagai kesalahan jenayah.


Kongsi cerita viral dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd