Bekas Ketua Perisik MEIO, Hasanah Meninggal Dunia
Difahamkan Allahyarhamah Hasanah, 66, sebelum ini bertarung dengan penyakit kanser.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!
Bekas Ketua Pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid dikhabarkan meninggal dunia pada Jumaat (5 Mei) tengah hari.
Arwah difahamkan menghembuskan nafas yang terakhir pada jam sekitar 12.30 tengah hari.
Menurut MalaysiaKini memetik sumber kerajaan, Allahyarhamah Hasanah yang berusia 66 tahun sebelum ini bertarung dengan penyakit kanser.
Tambah laporan sama, arwah akan dikebumikan di Pusara Taman Raudhatul Jannah KLM selepas disolatkan di Surau Al Ikhwan Desa Pinggiran Putra, Kajang.
Pada 25 Oktober 2018, Hasanah telah berdepan pertuduhan pecah amanah jenayah membabitkan AS$12.1 juta (RM50.4 juta) sewaktu menjawat jawatan kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Putrajaya.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Bahagian Penyelidikan JPM di antara 30 April dan 9 Mei 2018.
Hasanah didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
Namun pada 9 Ogos 2022, beliau dibebaskan dan dilepaskan sepenuhnya dari pertuduhan tersebut.
Menurut Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain, keputusan itu diambil selepas mahkamah mendapati adalah tidak adil untuk membiarkan pertuduhan terhadap Hasanah tergantung begitu sahaja.
Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.