Now Reading
Pelajar Kena Scam Di Petaling Street, Terpaksa Bayar RM1,575 Untuk ‘Screen Protector’

Pelajar Kena Scam Di Petaling Street, Terpaksa Bayar RM1,575 Untuk ‘Screen Protector’

Setelah menerima nasihat daripada pengguna Facebook, wanita tersebut akhirnya membuat laporan polis berhubungan kejadian itu.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Pada masa kini, pelbagai taktik penipuan akan digunakan oleh peniaga atau individu yang tidak bertanggungjawab demi meraih keuntungan.

Tidak hanya melalui panggilan telefon, segelintir peniaga juga memperdaya pelanggan secara bersemuka.

Wanita kena scam dengan tawaran harga RM25 ‘screen protector’

Begitulah yang terjadi pada seorang wanita ini apabila awalnya hanya menyangka akan membayar RM25 untuk ‘screen protector’ namun ditipu dengan harga yang jauh tidak masuk akal.

Menerusi perkongsian di laman Facebook GTS, kejadian tersebut terjadi pada petang Ahad (26 Februari) ketika wanita tersebut sedang berjalan-jalan sendirian di Petaling Street, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, tiba-tiba seorang jurujual menegur dirinya untuk menukar ‘screen protector’ yang berharga hanya RM25 termasuk ‘phone case’.

Pada awalnya, dia menolak promosi yang diberikan itu, namun memikirkan kembali keadaan ‘screen protector’ telefon miliknya yang harus ditukar, dia akhirnya bersetuju dan mengikut jurujual terbabit ke kedai.

Minta kad pengenalan untuk tujuan pendaftaran insurans ‘screen protector’

Semasa di kedai, jurujual terbabit meminta kad pengenalan (IC) wanita tersebut, dia yang seakan terpinga lantas bertanya mengapa mereka memerlukan IC miliknya.

Jurujual terbabit menjelaskan bahawa terdapat insurans perlindungan untuk screen protector yang dibelinya dan pendaftaran melalui IC diperlukan.

“Saya menyangka bahawa insurans adalah untuk jaminan, dan kemudian apabila rakan sekerjanya memasukkan maklumat saya ke dalam komputer untuk saya periksa, saya tiba-tiba melihat butiran insurans dengan RM2,099 tertera.

“Saya tanya ini untuk apa? Jelasnya, sekiranya skrin rosak nanti, tuntutan boleh dibuat,” kata wanita itu.

Ketika wanita itu bertanya lagi adakah dia perlu membayarnya, jurujual terbabit menjawab bahawa bil tersebut tidak akan diberikan dan dia hanya perlu membayar RM25 sahaja.

Kenakan bayaran RM2,099 + RM25

Setelah selesai pemasangan ‘screen protector’ dan pendaftaran insurans, jurujual terbabit mengenakan bayaran RM2,099 tambah RM25.

Tidak berpuas hati dengan jumlah tersebut, wanita itu bertanya kepada jurujual mengapa bukan RM25 seperti yang dijanjikan sebelum ini, tetapi lelaki terbabit berkata RM2,099 adalah wang insurans.

Jelas jurujual itu lagi, memang benar bil tidak akan dihantar kemudian, tetapi wang itu mesti dibayar dengan segera.

Lebih parah lagi apabila wanita tersebut tidak dapat membatalkan kembali pendaftaran insurans yang telah dilakukan itu.

Mengingatkan nasib dirinya yang hanya seorang pelajar dan akaun banknya hanya mempunyai RM1,700, bayaran akhir yang mampu dibayarnya hanyalah RM1,575.

“Saya tak tahu kenapa saya bagi duit itu, sepatutnya hanya berpaling dan pergi. Jurujual yang membawa saya ke sini jelaskan kepada saya dia ingin membantu saya. Jadi otak saya secara automatik pikir dia seorang yang baik.”

Tulis mangsa di laman Facebook

Pada awalnya, wanita tersebut tidak mendedahkan nama kedai dan tidak membuat sebarang laporan polis.

Buat laporan polis bersama wakil DAP Bukit Bintang

Bagaimanapun, wanita itu akhirnya pergi membuat laporan polis kerana menjadi mangsa penipuan selepas dinasihati oleh para pengguna Facebook.

Wanita itu pergi membuat laporan polis bersama seorang wakil daripada pejabat DAP Bukit Bintang.

Susulan laporan yang dibuat itu, pemilik kedai telefon berkenaan akhirnya memulangkan kembali wang tersebut kepada pelajar itu.

Bukti transaksi pemulangan semula wang (Sumber: Facebook/GTS)

Petaling Street lokasi aktiviti jualan yang terkenal, tapi jual barang ‘fake’?

Untuk info, Petaling Street merupakan lokasi aktiviti jualan yang terkenal dan sering dikunjungi oleh pelancong dari luar negara.

Malah nama kawasan ini cukup popular dalam kalangan rakyat Malaysia kerana ia turut menawarkan pelbagai barangan menarik seperti jam, barangan kulit, dan baju harga pada yang murah.

Namun, sebuah agensi di bawah Pejabat Eksekutif Presiden AS iaitu Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), telah menyenaraikan Petaling Street sebagai salah satu kawasan popular yang dikenal pasti menjual barangan tiruan dan cetak rompak.

BACA JUGA: Amerika Syarikat Senaraikan Petaling Street Sebagai Lokasi Popular Jual Barang Cetak Rompak & Tiruan

Kejadian sebegini tidak hanya berlaku di Petaling Street, malah boleh juga terjadi di tempat lain. Oleh itu, diharapkan orang ramai sentiasa berhati-hati dengan sebarang teknik penipuan oleh segelintir penjual yang tidak bertamadun.

Paling penting, jangan mudah percaya dengan seseorang yang tak dikenali okay!

BACA JUGA: Duit Dalam Bank Kena Curi Dengan Scammer? Ini Cara Untuk Dapatkan Semula


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd