Now Reading
[Review] Didi & Friends The Movie Bukan Hanya Untuk Kanak-Kanak Tapi Semua Peringkat Umur

[Review] Didi & Friends The Movie Bukan Hanya Untuk Kanak-Kanak Tapi Semua Peringkat Umur

Memandangkan ini merupakan filem pertama francais Didi & Friends selepas kemunculan sulung pada 2012, ramai yang pasti tidak sabar untuk menonton naskah ini di pawagam.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Semalam (16 Februari), berlangsungnya majlis Malam Gala Didi & Friends The Movie di GSC, Starling Mall, Damansara Utama.

Filem animasi tempatan terbaharu itu bakal menemui peminat di pawagam seluruh Malaysia bermula 23 Februari, serentak dengan cuti sekolah yang bakal tiba.

Bersempena dengan majlis yang berlangsung, team TRP turut berpeluang menonton Tayangan Perdana Didi & Friends The Movie yang diterbitkan Astro Shaw, Warnakala Studios, Digital Durian dengan kerjasama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Memandangkan ini merupakan filem pertama francais Didi & Friends selepas kemunculan sulung pada 2012, ramai yang pasti tidak sabar untuk menonton naskah ini di pawagam bukan?

Sinopsis Didi & Friends The Movie

Secara ringkasnya, jalan cerita Didi & Friends The Movie sudah cukup mempunyai daya tarikan yang tersendiri untuk menarik penonton.

Kisah Didi & Friends The Movie bermula apabila keterujaan Didi bertukar menjadi kekecewaan apabila Pak Atan melarang Ayam Serama itu dari mengikuti pengembaraannya di mana dia diminta tinggal di Pekan Horey bersama rakan-rakannya yang lain.

Ini kerana Pak Atan dan Pak Beruang terpaksa pergi ke sebuah dunia lain iaitu Dunia Muzika untuk mencari penawar ajaib bagi mengubati Pak Beruang yang tiba-tiba sakit.

Didi berdegil dan akhirnya mengambil keputusan untuk pergi ke Dunia Muzika seorang diri. Nana dan Jojo yang mempersoalkan keputusan Didi untuk pergi sendiri kemudian turut menyertai rakan mereka itu.

Pelbagai cabaran menanti mereka di dalam Dunia Muzika, termasuk bahaya besar berdepan dengan lanun langit yang menakutkan bernama Torra.

[Review]

Dari segi jalan cerita, filem ini mempunyai kualiti yang bagus dan sarat dengan latar cerita dan mesej yang positif dan membina. Ada masanya anda akan tertawa dan tersenyum dan ada juga babak yang mungkin boleh membuatkan anda menitiskan air mata.

Tempo filemnya juga agak santai di mana anda tidak perlu memerah otak- sesuai dengan semua peringkat umur.

Pengolahan babak dan plot twis cerita ini juga menarik.

Bukan itu sahaja, skrip yang digunakan juga amat bersahaja meskipun produksi dilihat masih menjaga penggunaan bahasa agar ianya bersesuaian dengan anak kecil.

Memandangkan ianya tayangan perdana, terdapat beberapa ‘hiccup’ yang dikesan namun produksi sudah memaklumkan ianya akan ditangani dalam masa terdekat.

Selain dari barisan pelakon suara latar asal, Didi & Friends The Movie yang diarahkan secara bersama oleh Akmal Aziz Asmawi dan Roshfaizal Ariffin turut menampilkan selebriti terkenal seperti, Awie, Amelia Henderson, penyanyi rap Waris, dan pelakon veteran Ruminah Sidek bagi memantapkan lagi filem mereka.

Dan hasilnya begitu memberangsangkan di mana kesemua mereka ternyata memberikan nilai tambah kepada filem pengembaraan animasi muzikal itu. Suara dan ‘pickup line’ yang dipinjamkan Awie untuk watak Tok Chip juga berjaya menghidupkan suasana lucu membuatkan penonton tidak akan kering gusi.

Voice over (VO) Ruminah Sidek, Waris dan Amelia Henderson juga begitu ‘menjadi’ sekaligus memberi ‘seri’ selain membuatkan penceritaan Didi & Friedns The Movie menjadi lebih menarik.

Penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif Warnakala Studios Hairul Sofian sewaktu sidang media berkata, dia dan pengarah memilih untuk meminjam suara artis-artis ternama itu kerana watak yang diberikan sesuai dengan suara dan karakter masing-masing.

Malah idea itu turut diambil dari produksi Hollywood dan luar negara yang kerap mengetengahkan pelakon ternama untuk penghasilan sesebuah animasi.

Buat Ketua Pengarah Eksekutif Digital Durian Sinan Ismail pula, pemilihan mereka juga kerana watak di dalam filem animasi memerlukan mereka untuk berlakon dan juga bernyanyi.

Tidak lupa kredit kepada pelakon suara asal yang sudah cukup sinomim dengan animasi Didi & Friends iaitu Nur Insyeerah (Didi), Adilia Myra (Nana), Adam Muqri (Jojo), Khairul Ammar Jamal (Pak Atan) dan ramai lagi.

Visual banyak kemajuan (8/10)

Dari segi aset visual, ternyata kualiti tekstur, warna, dan latar belakang yang dipamerkan produksi Warnakala Studios dan Digital Durian begitu berbeza dan jauh lebih baik dari siri Didi & Friends sebelum ini.

Bahkan semua karakter turut ditambah baik dan agak realism berbanding konsep flat design membuatkan karakter mereka setanding dengan filem animasi tempatan yang lain seperti Boboiboy, Ejen Ali, Mechamato dan juga Upin & Ipin.

Justeru pada kami, bajet RM6 juta yang diperuntukkan untuk filem ini adalah berbaloi malah diyakini mampu memberikan keuntungan yang berlipat ganda buat penerbit dan produksi.

Muzik latar yang begitu menarik (9/10)

Dari sudut bunyi pula, filem ini juga mempunyai kekuatan tersendiri apabila menjadi filem animasi Malaysia yang pertama menjalinkan kerjasama dengan Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) dan Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) dalam pembikinan lagu & muzik latar orkestra dalam filem.

Difahamkan sebanyak 6 lagu telah dirakamkan bersama MPO dan DFP antaranya lagu Hora Horey, Manet, Torra, Percaya, Percaya Reprise termasuk Hora Horey Instrumental.

Sound design juga tidak kurang hebatnya di mana pelbagai aspek dijaga dengan teliti termasuklah sound fx, foley dan ambience. Meskipun ada sedikit kekurangan dalam beberapa babak, semua itu dapat ‘ditutup’ dengan baik dengan adanya muzik latar.

Sama seperti Ejen Ali, Mechamato dan lain-lain, kami yakin Didi & Friend The Movie juga berjaya memecahkan persepi bahawa filem animasi hanyalah untuk kanak-kanak sebaliknya ia juga sesuai ditonton oleh remaja dan juga orang dewasa.

Memandangkan cuti sekolah bakal menjelang tiba tidak lama lagi, kami cadangkan agar anda turun ke pagawam untuk sama-sama menonton Didi & Friends The Movie. Jom sapot lokal!


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd