Now Reading
“Kini Saya Sedar..” – Selepas ‘Dilokap’, YouTuber Tarik Tudung Akui Kesal Tak Fikir Panjang

“Kini Saya Sedar..” – Selepas ‘Dilokap’, YouTuber Tarik Tudung Akui Kesal Tak Fikir Panjang

Dia mengakui berasa tidak tenang sewaktu ditahan dan banyak bermuhasabah sambil memikir kembali kesalahan yang telah dilakukannya.

Selepas ditahan dan didakwa di mahkamah gara-gara menghasilkan konten menarik tudung wanita, YouTuber tular yang menjadi kecaman masyarakat akhirnya mengakui kesal di atas perbuatannya.

Menerusi laporan Harian Metro, Nick, atau nama sebenarnya Fakrul Rushdan Roslan, 24, menganggap apa yang sedang dihadapinya kini adalah dugaan dari Allah SWT dan harus bertanggungjawab dengan apa yang telah terjadi.

Jelas Nick, apa yang berlaku telah memberikan kesan yang begitu mendalam kepada dirinya, terutama apabila ditahan di lokap sepanjang kesnya disiasat.

“Ini dugaan daripada Allah, saya kena hadap, saya kena bertanggungjawab dengan apa saya buat,” kata pemilik YouTube NickChannel itu.

Hati tak tenang, tak boleh tidur ketika ditahan

Menurut pemuda ini lagi, sewaktu ditahan pihak polis, jiwanya sudah berasa tidak tenang dan banyak bermuhasabah sambil memikir kembali kesalahan yang telah dilakukannya.

Dia juga mengalami kesukaran untuk melelapkan mata kerana berasa tidak tenteram sambil memikirkan tentang keluarga.

“Sedih dan tak boleh terima apa diri saya buat. Saya faham perkara itu berkait dengan soal agama tetapi ketika saya buat (video) itu, saya tak berfikir panjang. Apabila jadi begini barulah saya terfikir kesannya.

“Silap saya sebab tak buat penjelasan awal, yang ia adalah eksperimen sosial hingga ramai salah faham,” katanya kepada Harian Metro.

Tambah pemuda ini lagi, ibunya adalah orang yang paling sedih dengan apa yang berlaku dan dia belum berkesempatan bersemuka dengan wanita itu lagi.

“Saya hanya berhubung di telefon dan menjelaskan hal sebenar. Emak, ayah dan abang tahu semuanya dan mereka sedih, tapi emak yang paling terkesan. Saya hanya mampu berterus terang, mengakui kesilapan saya dan meminta maaf. Saya beritahu akan selesaikan semuanya dan menjaga air muka mereka.”

Pemilik YouTube NickChannel, Fakrul Rushdan Roslan

Lebih selesa duduk di rumah buat masa ini

Dia dalam masa sama turut mengakui ada menerima sejak kisahnya. Disebabkan itu dia juga sudah membuat satu laporan polis bagi melindungi dirinya.

“Nak cakap sedia (untuk keluar dan menghadap masyarakat) masih 50-50 lagi, sebab ramai tak boleh terima apa saya buat. Buat masa ini, saya selesa duduk rumah dahulu sehingga kes selesai.

“Saya faham netizen marah kerana ingat mereka orang awam tetapi sebenarnya mereka kawan saya,” katanya lagi.

Terdahulu dia telah disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan / Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) dan dikenakan hukuman denda ekoran dari perbuatannya itu.

BACA JUGA: Prank Tarik Tudung: YouTuber Didakwa Di Mahkamah Majistret

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd