Now Reading
KEADILAN Terus Mara Berlandaskan Nilai, Bukan Personaliti

KEADILAN Terus Mara Berlandaskan Nilai, Bukan Personaliti

“Sejarah membuktikan bahawa KEADILAN bukan sebuah parti yang bergantung kepada seorang individu semata-mata,” kata Naib Ketua Wanita Keadilan, Loh Ker Chean

In Brief
  • KEADILAN telah bertahan melepasi pelbagai ujian besar selama dua dekad, membuktikan parti ini tidak bergantung kepada seorang individu semata-mata.
  • Asas perjuangan KEADILAN ialah nilai Reformasi seperti keadilan dan demokrasi, bukan personaliti pemimpin, memastikan parti kekal relevan pada masa hadapan.

Subscribe to our FREE Newsletter, or Telegram and WhatsApp channels for the latest stories and updates.


Saya menghormati kegusaran yang disuarakan oleh bekas pemimpin KEADILAN, Dato’ Seri Rafizi Ramli mengenai masa depan parti dan kelangsungan KEADILAN dalam melahirkan barisan pemimpin melangkaui sosok Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam hal ini, hak untuk memberikan kritikan dan pandangan yang jujur merupakan sebahagian daripada budaya Reformasi yang kita perjuangkan sejak awal penubuhan parti.

Namun begitu, saya berbeza pandangan dengan kesimpulan bahawa KEADILAN akan kehilangan arah atau tidak mampu bertahan selepas era kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sejarah membuktikan bahawa KEADILAN bukan sebuah parti yang bergantung kepada seorang individu semata-mata.

Sepanjang lebih dua dekad perjuangannya, KEADILAN melalui pelbagai ujian besar. Pemenjaraan pemimpin utama, tekanan politik yang berterusan, perpecahan dalaman, kehilangan tokoh penting, sehinggalah episod pengkhianatan yang hampir menjatuhkan kerajaan negeri dan pusat.

Namun setiap kali diuji, KEADILAN bukan sahaja mampu bangkit, malah terus berkembang sehingga menjadi tunjang kepada Kerajaan Malaysia MADANI hari ini.

Hal ini kerana asas perjuangan KEADILAN bukanlah seorang pemimpin, tetapi cita-cita Reformasi yang berteraskan keadilan, demokrasi, tadbir urus yang baik, pembanterasan rasuah serta peluang yang lebih saksama untuk seluruh rakyat Malaysia.

Datuk Seri Anwar Ibrahim sememangnya merupakan simbol dan wajah yang menggerakkan dan mencetuskan perjuangan tersebut selama lebih dua dekad.

Namun, simbol tidak harus dikelirukan dengan institusi. Seperti mana mana-mana organisasi politik yang matang, pemimpin akan datang dan pergi, tetapi nilai dan perjuangan mesti diteruskan.

Pandangan bahawa KEADILAN tidak mempunyai pelapis juga tidak mengambil kira realiti perkembangan parti. KEADILAN mempunyai gabungan pemimpin berpengalaman yang melalui era Reformasi bersama generasi baharu yang berjaya membuktikan kemampuan mereka di Parlimen, kerajaan, negeri dan organisasi parti.

Proses pembinaan kepimpinan bukanlah sesuatu yang berlaku dalam satu pilihan raya atau satu pemilihan, tetapi merupakan proses yang berterusan. Dato’ Seri Rafizi Ramli juga produk KEADILAN.

Malah, hakikat bahawa begitu ramai tokoh politik yang pernah dibentuk dan dibesarkan dalam KEADILAN terus memainkan peranan penting dalam landskap politik negara membuktikan bahawa parti ini sentiasa menjadi medan melahirkan bakat dan kepimpinan.

Dalam masa yang sama, KEADILAN tidak boleh terlalu asyik membincangkan soal individu yang bakal memimpin pada masa hadapan sehingga melupakan tanggungjawab utama kepada rakyat hari ini.

Rakyat lebih mahu melihat usaha mengurangkan kos sara hidup, meningkatkan pendapatan, memperkukuh institusi negara dan membina ekonomi yang lebih adil.

Politik yang matang bukan sekadar mencari pengganti individu, tetapi memastikan institusi menjadi lebih kukuh daripada mana-mana tokoh.

Semangat Reformasi yang lahir pada 1998 tidak pernah bergantung kepada satu nama. Perjuangan ini hidup kerana keyakinan bahawa Malaysia berhak mendapat sebuah sistem yang lebih adil, lebih demokratik dan lebih berintegriti.

Atas sebab itu, saya yakin KEADILAN akan terus relevan bukan kerana siapa yang memimpinnya, tetapi kerana nilai yang diperjuangkannya masih menjadi harapan jutaan rakyat Malaysia.

Pemimpin akan silih berganti. Perjuangan Reformasi mesti terus hidup.

LOH KER CHEAN
Naib Ketua Wanita
Parti Keadilan Rakyat


Share your thoughts with us via TRP’s FacebookTwitterInstagram, or Threads.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd