Now Reading
KEADILAN Sentiasa Melahirkan Generasi Baharu Kepimpinan

KEADILAN Sentiasa Melahirkan Generasi Baharu Kepimpinan

“Di Selangor, KEADILAN diketuai oleh pemimpin muda era Reformasi, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Amirudin Shari selaku Menteri Besar Selangor,” menurut Ketua Cabang Keadilan Puchong Zaihasri Jaafar.

In Brief
  • KEADILAN has successfully produced new generations of leaders since 1999, with many former young activists now holding significant positions in government and party.
  • The future of KEADILAN depends not on any single individual but on upholding Reformasi values and strengthening party institutions continuously.
  • KEADILAN's strength lies in its ability to unite diverse backgrounds and generations, giving all members opportunities to grow and lead.

Subscribe to our FREE Newsletter, or Telegram and WhatsApp channels for the latest stories and updates.


Saya mengikuti pandangan yang dikemukakan oleh Dato’ Seri Rafizi Ramli mengenai keperluan KEADILAN menyediakan barisan pelapis untuk meneruskan agenda Reformasi pada masa hadapan.

Sebagai sebuah parti yang lahir daripada semangat perubahan, KEADILAN tidak pernah takut untuk berdepan dengan persoalan-persoalan besar mengenai masa depannya. Perbincangan tentang pelapis kepimpinan bukanlah sesuatu yang baharu, malah ia merupakan proses yang perlu berlaku dalam mana-mana organisasi politik yang sihat dan demokratik.

Namun begitu, saya percaya adalah tidak tepat untuk menggambarkan seolah-olah KEADILAN gagal melahirkan generasi kepimpinan baharu atau tidak mempunyai kapasiti untuk meneruskan perjuangan selepas era kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hakikatnya, sejak penubuhannya pada tahun 1999, KEADILAN melalui beberapa generasi kepimpinan. Ramai tokoh yang pada suatu ketika dahulu merupakan aktivis muda, petugas parti atau pemimpin cabang kini memegang tanggungjawab besar sebagai anggota pentadbiran, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, pimpinan parti serta pemimpin masyarakat.

Di Selangor, KEADILAN diketuai oleh pemimpin muda era Reformasi, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Amirudin Shari selaku Menteri Besar Selangor.

Proses kelahiran pemimpin dalam KEADILAN tidak berlaku secara kebetulan. Proses ini adalah hasil daripada budaya parti yang memberikan ruang kepada kader baharu untuk belajar, memimpin dan memikul tanggungjawab.

Malah, antara kekuatan utama KEADILAN sejak awal ialah keupayaannya menghimpunkan pelbagai latar belakang, generasi dan pengalaman dalam satu wadah perjuangan yang sama. Daripada mahasiswa dan aktivis masyarakat sivil, kepada profesional, ahli akademik dan pemimpin akar umbi, semuanya mempunyai peluang untuk berkembang dalam parti ini.

Atas sebab itu, persoalan masa depan KEADILAN tidak boleh dilihat semata-mata melalui lensa siapakah individu yang bakal menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Persoalan yang lebih penting ialah sama ada nilai-nilai Reformasi terus dipertahankan, institusi parti terus diperkukuh dan generasi pemimpin baharu terus diberikan ruang untuk berkembang.

Dalam hal ini, saya yakin KEADILAN berada di landasan yang betul.

Apa yang diperlukan sekarang bukanlah rasa pesimis terhadap masa depan parti, tetapi komitmen bersama untuk memperkukuh proses pembinaan kepimpinan yang telah berlangsung sejak lebih dua dekad lalu.

Kita harus mengakui bahawa tidak ada seorang pun pemimpin yang akan kekal selama-lamanya. Namun sejarah juga mengajar kita bahawa perjuangan yang berasaskan nilai akan sentiasa menemukan pemimpin-pemimpin baharu untuk meneruskannya.

KEADILAN tidak lahir daripada keselesaan kuasa. KEADILAN lahir daripada keberanian rakyat untuk menuntut perubahan. Selagi semangat itu hidup, selagi itulah parti ini akan terus melahirkan generasi pemimpin yang bersedia memikul amanah perjuangan Reformasi.

Masa depan KEADILAN tidak terletak pada seorang individu. Masa depan KEADILAN terletak pada keupayaannya untuk terus melahirkan pemimpin yang setia kepada cita-cita Reformasi dan aspirasi rakyat Malaysia.

ZAIHASRI JAAFAR
Ketua Cabang Puchong
Parti Keadilan Rakyat


Share your thoughts with us via TRP’s FacebookTwitterInstagram, or Threads.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd