Now Reading
[Pendapat] Hati-hati Dengan Helah ‘Scammer’, Ambil Tahu Cara Untuk Elak Dari Jadi Mangsa Seterusnya

[Pendapat] Hati-hati Dengan Helah ‘Scammer’, Ambil Tahu Cara Untuk Elak Dari Jadi Mangsa Seterusnya

Aspek utama panggilan serta e-mel penipuan ialah elemen permainan psikologi. Panggilan telefon terutamanya amat efektif dalam mencetuskan perasaan ingin tahu, gembira, risau/ panik, cemas yang memerlukan anda bertindak segera tanpa berfikir panjang.

scammer

Jangan lupa follow channel Telegram kami untuk berita dan cerita terkini yang baru dan menarik!


Oleh:
Puan Nadiah Suki
Pensyarah Kanan School of Business,

Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU). 


Kebelakangan ini terdapat banyak berita di akhbar yang melaporkan pelbagai jenis penipuan melibatkan puluhan malah ratusan ribu ringgit yang hilang dengan begitu sahaja. 

Dalam kebanyakan kes, wang tersebut tidak dapat ditemukan semula dan mangsa mengalami trauma selepas melihat hasil penat lelah mereka lesap akibat modus operandi ‘scammer’, yang digunakan oleh kumpulan tidak bertanggungjawab.  

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merekodkan lebih daripada 71 ribu kes jenayah komersil antara tahun 2020 hingga Mei tahun ini, yang mana 68% berpunca dari penipuan dalam talian, melibatkan kerugian lebih daripada RM5.2 bilion. 

Foto : Pexels/ Olya Kobruseva

Selain pengguatkuasaan undang-undang yang ketat terhadap penjenayah, langkah pencegahan juga perlu diambil oleh pihak individu. Bagaimanakah caranya untuk kita mengenal ciri-ciri ‘scam’ tersebut, supaya kita dapat mengelak dari ditipu? 

Berikut merupakan saranan pihak berwajib serta petanda-petanda amaran yang boleh mengingatkan kita dari terjebak dengan penipuan, antaranya:

  • Alamat e-mel yang meragukan, menawarkan ganjaran keuntungan segera atau  berganda atau kemenangan cabutan bertuah.
  • Pemanggil yang menelefon melalui telefon bimbit mendakwa dirinya wakil pihak berwajib atau syarikat-syarikat terkenal atau ejen penghantaran barang.
  • Mesej/pesanan dari chat atau sms yang menyarankan anda muat turun aplikasi tanpa melalui Play Store atau App Store.
  • Aplikasi yang meminta kebenaran membaca dan menghantar sms bagi pihak anda.
  • Panggilan rawak bersama ucapan tahniah kepada anda sebagai pemenang pertandingan yang tidak pernah anda sertai.
  • Pemanggil yang memerlukan anda memberi pengesahan data peribadi seperti alamat, nombor telefon, nombor kad pengenalan dan kadangkala nombor akaun, nombor kad kredit beserta CVV (3 digit di belakang kad debit/ kredit anda) atau nombor EPF.

Jika terima panggilan ‘red flag’, terus tamatkan panggilan

Aspek utama panggilan serta e-mel penipuan ialah elemen permainan psikologi. Panggilan telefon terutamanya amat efektif dalam mencetuskan perasaan ingin tahu, gembira, risau/ panik, cemas yang memerlukan anda bertindak segera tanpa berfikir panjang. 

Sekiranya anda menerima panggilan salah satu ‘red flag’ seperti di atas, sila tamatkan panggilan secara serta merta.  

Foto : Freepik

Kadangkala kes di atas juga berkait rapat dengan perlanggaran undang-undang atau kompromi data peribadi di mana pemanggil dapat memberikan secara tepat nombor kad pengenalan anda. 

Contohnya pada 12 Jun 2022 pihak berwajib di Malaysia telah menutup laman web yang dikatakan mengandungi jutaan data peribadi kepunyaan rakyat Malaysia namun dalam masa beberapa jam laman web tersebut tersebar, berkemungkinan banyak pihak yang telah mengakses atau memuat turun data anda. 

Laporan dari PwC’s Global Economic Crime and Fraud Survey 2022 juga menyatakan bahawa syarikat-syarikat turut ‘diserang’ untuk mendapatkan komoditi berharga dari pangkalan data mereka. 

Penipuan menggunakan platform digital dinyatakan semakin meningkat antara tahun 2018 hingga 2022. Walaupun serangan digital ini kebanyakannya berasal dari luar (“external attacker”), terdapat juga serangan yang berlaku melalui pakatan sulit (“collusion”) antara penyerang dari luar dengan pihak dalaman syarikat.

Pihak polis tidak mempunyai kawalan ke atas pangkalan data kerajaan atau syarikat-syarikat peribadi malah mereka juga menghadapi kesukaran dalam menyiasat pelbagai kes penipuan yang semakin meningkat.

Oleh yang demikian, adalah amat penting bagi pihak individu untuk menjaga keselamatan transaksi agar peluang penipuan ini dapat dielakkan di peringkat akar umbi.

Panduan/Langkah-langkah elak jadi mangsa ‘scam’

Berikut merupakan cadangan untuk pihak pengguna mengambil langkah berhati-hati:

  • Sekiranya ada menerima e-mel dari pihak yang mengaku sebagai pihak bank/ polis/ LHDN/ mahkamah, pertama sekali semak alamat e-mel tersebut. Jika kelihatan pelik dan tidak berakhir dengan .gov.my atau .com.my (beserta nama bank atau syarikat), sebaik-baiknya e-mel itu dipadamkan sahaja.
  • Kedua, sekiranya e-mel tersebut meminta anda mengesahkan nama pengguna (“username”) serta kata laluan (“password”). Sila abaikan atau padamkan e-mel tersebut dengan serta-merta kerana pihak bank atau pihak berwajib tidak akan sekali-kali meminta anda mengesahkan atau memberikan kata laluan kepada akaun peribadi. 
  • Perlu juga diingatkan bahawa pihak berwajib seperti pihak polis/ LHDN/ mahkamah tidak akan menghubungi anda melalui telefon peribadi atau e-mel melainkan anda telah diberitahu terlebih dahulu melalui writ saman atau surat menyurat berkenaan kes anda. Adalah lebih baik jika kita menamatkan panggilan tersebut dan sekiranya ada perasaan risau anda boleh menghubungi pihak polis atau mahkamah untuk mengesahkan nombor kes.
  • Terdapat juga e-mel/ chat yang menghubungi insan-insan yang kesunyian untuk mendampingi mereka, beserta gambar serta profil menarik (‘love scam’). Dalam situasi seperti ini, hadirkan sedikit perasaan skeptikal dalam diri dan selidiklah lebih lanjut tentang latarbelakang serta carilah maklumat sokongan dari “connections” di sekeliling watak tersebut.
  • Sekiranya menerima pekej yang belum dibayar (C.O.D.), anda boleh memberitahu penghantar untuk menunggu hingga anda mengesahkan maklumat dengan penerima sebenar; atau sekiranya anda digesa untuk mengambil barang tersebut, anda boleh menyuruh mereka pergi dahulu dan datang kembali ketika penerima tersebut berada di lokasi. Walaupun mereka memaksa anda menerima pekej tersebut, anda boleh menegaskan bahawa anda bukanlah penerima pekej tersebut. Namun begitu, jika nama di pekej itu nama anda sendiri anda berhak menolak penerimaan tersebut jika produk tersebut tidak dipesan oleh anda.
  • Ada kalanya kita menerima panggilan berita baik seperi cabutan bertuah. Dalam keadaan ini, selidik lebih lanjut tentang masa dan ketika anda menyertai cabutan atau pertandingan tersebut. Siasat dan bertanyalah sebanyak mungkin tentang butiran yang berkenaan. Penipu biasanya akan mengikut skrip yang disediakan dan tidak mempunyai maklumat terperinci.
  • Terbaharu terdapat pemanggil yang mengaku sebagai wakil Tabung Haji untuk menyampaikan berita baik tentang rayuan permohonan haji yang berjaya. Anda disarankan melihat paparan skrin jika nombor peribadi yang digunakan adalah benar atau tamatkan panggilan serta merta atau sampaikan kepada pemanggil bahawa anda akan mengesahkan maklumat ini dengan cawangan Tabung Haji terdekat.
  • Kadangkala kita menerima mesej/chat dari rakan yang terkandas di lapangan terbang atau negara asing dan memerlukan wang segera. Sekiranya rakan ini rakan rapat anda, segera hubunginya dan bertanya khabar tentang permintaan wang ini. Jika rakan ini rakan jauh yang tidak pernah atau jarang-jarang sekali menghubungi anda, anda boleh bertanya di dalam group chat atau abaikan mesej tersebut.
  • Simpan maklumat tentang transaksi perbankan dalam fail yang selamat. Jika anda menerima panggilan yang meminta ada mengesahkan nombor kad pengenalan atau alamat adalah disarankan supaya pemanggil meminta perincian terlebih dahulu (jika anda telah memohon pinjaman atau kad kredit terdahulu dari panggilan ini). Jika tidak berkaitan dengan apa-apa permohonan, panggilan tersebut hendaklah ditamatkan serta merta.
  • Ada ketikanya kita menerima tawaran pelaburan yang memberi pulangan menarik. Anda dinasihatkan untuk menyiasat lebih lanjut tentang syarikat tersebut sebelum melabur. Contohnya, senarai syarikat pelaburan berdaftar di Malaysia boleh didapati dari laman sesawang Suruhanjaya Sekuriti: www.sc.com.my/regulation/ licensing/licensed-and-registered-persons.
  • Anda juga boleh merujuk kepada badan pengawalseliaan yang lain seperti Bank Negara dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk mengesahkan status syarikat yang menerima deposit.
  • Walaupun anda digula-gulakan dengan hadiah atau barangan yang menarik, abaikan mesej yang meminta anda mengimbas kod QR, atau menekan link, atau memuat turun aplikasi. Kadangkala link yang ditekan tersebut merupakan fail APK yang boleh membaca kandungan SMS anda. Elakkan dari memuat turun aplikasi yang dihantar kepada anda melalui chat, sms atau e-mel. Sebaiknya muat turun aplikasi melalui cara yang selamat dari Play Store or App Store.
  • Jauhi diri dari laman web yang meragukan, dan gunakan ‘pop up blocker’.
  • Pilih ‘Don’t Allow’ sekiranya ada aplikasi yang meminta kebenaran untuk membaca dan menghantar sms dari nombor anda.
  • Berjaga-jaga apabila peranti anda memberi amaran tentang ‘malicious apps’, anda tidak perlu memberi perhatian atau memuat turun aplikasi tersebut.

Kesimpulannya, setiap individu perlu melaksanakan usaha wajar (‘due diligence’) apabila menerima e-mel atau panggilan yang mencurigakan. 

Dalam masa yang sama, dokumen dan rekod peribadi serta kata laluan perlu disimpan di tempat yang selamat (contohnya dalam ‘encrypted file’), bukan di tempat terbuka, contohnya di ‘Desktop’ dalam komputer riba yang tidak dikunci skrin. 

Simpan rekod anda secara tersusun, contohnya jika anda gemar menyertai pelbagai pertandingan anda disarankan untuk menyimpan dalam ‘excel file’ tarikh pertandingan, penganjur, data yang telah anda berikan serta hadiah utama yang ditawarkan supaya tidak terpedaya dengan panggilan pemenang hadiah atau cabutan bertuah. 

Begitu juga untuk pembeli online yang tegar. Anda boleh memantau pekej yang bakal diterima supaya tidak tertipu dengan pemanggil penghantaran. Secara keseluruhan, jika anda tidak pasti dengan maklumat yang diminta atau diberikan pemanggil, anda boleh meminta pemanggil membuat panggilan semula setelah anda mengesahkan maklumat yang diperlukan.

Selain itu, aplikasi-aplikasi seperti ‘Truecaller’ atau ‘Caller ID’ boleh membantu pengguna menyaring panggilan sebelum terjebak dalam panggilan scammer.


Puan Nadiah Suki merupakan Pensyarah Kanan School of Business, Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU). Antara kursus yang diajarnya di APU berkait dengan kontrak sivil, undang-undang syarikat, harta intelek, dan etika pengkomputeran. Nadiah juga sedang menjalankan penyelidikan tentang transformasi digital di kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia.


Jika anda ingin berkongsi pendapat bersama kami, boleh hantarkan e-mel ke editorial@therakyatpost.com dengan tajuk “OPINION” atau “PENDAPAT”: atau melalui media sosial kami TRPBM: FacebookTwitter dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd