Now Reading
Selepas 7 Tahun Di Alam Perkahwinan, Fazura Fail Cerai Terhadap Fattah Amin

Selepas 7 Tahun Di Alam Perkahwinan, Fazura Fail Cerai Terhadap Fattah Amin

Difahamkan urusan memfailkan permohonan cerai dibuat oleh peguam yang mewakili Fazura di Mahkamah Rendah Syariah Petaling.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Terbaharu, industri hiburan telah dikejutkan dengan berita pelakon terkenal, Nur Fazura Sharifuddin memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, Fattah Amin, 33, di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam pada 13 September.

Menurut Berita Harian berita tersebut turut disahkan oleh sumber yang tidak mahu dirinya didedahkan.

“Iya, Fazura sudah failkan perceraian sebelum tengah hari tadi. Dia tidak hadir ke mahkamah, sebaliknya, urusan memfailkan perceraian itu dibuat peguam yang mewakilinya.

“Buat masa ini, punca perceraian tidak didedahkan,” ujar sumber tersebut.

Dalam pada itu, semakan kami di laman akaun media sosial Fazura tidak menemui sebarang kemaskini berhubung perkara tersebut.

Namun dia dilihat memuat naik satu hantaran di IG Story yang tertulis ‘Jika sesuatu yang kau senangi tak terjadi, maka senangilah apa yang terjadi.’

Fazura sebelum ini menafikan rumah tangga bergolak

Sebelum ini, desas-desus mengenai keretakan rumah tangga pasangan terbabit turut hangat diperkatakan di media sosial, ada yang mengatakan mereka tidak lagi meninggalkan komen mahupun ‘like’ dalam hantaran akaun masing-masing.

Walau bagaimanapun, pada 22 Julai lalu Fazura, 41, menafikan spekulasi mengenai rumah tangga yang dikatakan bergolak dan memaklumkan hubungan mereka berada dalam keadaan baik.

“Saya faham peminat ambil berat sebab sudah lama tak nampak kami bersama. Jujurnya, saya memang hadkan ‘posting’ mempamerkan kemesraan dalam media sosial.

“Saya sangat terkesan melihat penderitaan rakyat Palestin. Adalah tidak adil untuk tunjukkan kebahagiaan dengan suami, sedangkan rakyat Palestin sedang menderita ketika ini.

“Bukan setakat gambar bersama Fattah, malah gambar bersama anak, Fatima pun saya fikir panjang sebelum kongsi dalam media sosial.

“Jadi, kalau ada spekulasi mengatakan rumah tangga kami bermasalah, itu memang tidak betul. Saya dan Fattah okay sahaja,” ujar aktres itu.

Pasangan tersebut telah berkahwin pada 27 November 2017, hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Fatima Aisya yang berusia 4 tahun.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd