Now Reading
“Kenapa Semua Perkara Perlu Dipolitikkan?” Hishamuddin Beri Pandangan Isu Pembukaan Parlimen

“Kenapa Semua Perkara Perlu Dipolitikkan?” Hishamuddin Beri Pandangan Isu Pembukaan Parlimen

Beliau turut menyuarakan rasa kecewa di mana negara sedang melalui detik getir, tetapi kenapa kita terus mempolitikkan semua isu?

Siti Murni

Jangan lupa follow channel Telegram TRPBM untuk updates terkini yang relevan dan menarik!


Menteri Luar Negeri, Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein baru-baru ini telah terpanggil untuk mengulas tentang topik pembukaan semula Parlimen.

Ini kerana menurut beliau, sejak beberapa minggu yang lalu – banyak tentang perkembangan politik negara telah didengari. Ini termasuklah desakan segelintir pemimpin politik agar Parlimen kembali bersidang, dan sesetengah mendakwa mereka mempunyai angka yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan baharu.

Oleh itu, beliau ingin menyuarakan tentang beberapa perkara bahawasanya tidak semua perkara perlu dipolitikkan. Lebih-lebih lagi ketika negara sedang melalui saat yang mencabar dengan wujudnya pandemik Covid-19.

Situasi Bandar Kuala Lumpur ketika PKP.

“Melangkaui Politik dan Pandemik”

Hishamuddin telah menyuarakan pendapatkan melalui satu artikel ringkas di mana ianya merangkumi fokus terhadap satu topik yang sering diperkatakan oleh kedua-dua belah pihak iaitu Parlimen.

Baca teks penuh di bawah:

  1. Desakan politik agar Parlimen dibuka semula tidak boleh mempunyai agenda tersembunyi. Seruan agar Parlimen kembali bersidang tidak boleh dijadikan alat pemuas nafsu politik sesetengah individu. Usaha-usaha sebegini bukan baru. Kita telah melihatnya berulang kali selama bertahun-tahun – terbaru pada September 2020. Mereka terlalu taksub pada angka yang ‘kukuh, hebat, meyakinkan’ – sehinggakan, ia meresap ke dalam pelbagai senario serta cuba meyakinkan semua orang bahawa mereka bersatu, dengan harapan dapat meneruskan agenda untuk kembali berkuasa.
  2. Ahli-Ahli Parlimen yang kuat mendesak agar persidangan diadakan, mesti mengambil tanggungjawab bersama bagi memastikan persidangan Parlimen yang disambung semula nanti dimanfaatkan sepenuhnya demi kepentingan Malaysia dan rakyatnya terutama dalam pengurusan Covid-19. Agenda negara kita jauh lebih penting berbanding cita-cita peribadi sesiapa jua. Satu-satunya harapan rakyat Malaysia ketika ini ialah jalan keluar daripada krisis ini dan ia merupakan tanggungjawab kita sebagai Ahli-Ahli Parlimen. Rakyat mahu jumlah kes diturunkan, nyawa diselamatkan dan ekonomi dipulihkan.
  3. Situasi yang sedang kita hadapi sekarang sangat luar biasa – kita berdepan gabungan krisis kesihatan, krisis ekonomi dan ketidakstabilan politik secara serentak. Berpolitik sepanjang masa merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima. Di kala Perdana Menteri dan Menteri-Menterinya mengemukakan Pelan Pemulihan Negara yang bermatlamat membawa negara keluar daripada pandemik – kita semua perlu menyokong, bukannya skeptikal. Pelan tersebut hanya akan berhasil sekiranya semua parti bekerjasama mencari jalan keluar daripada pandemik.

Beliau menegaskan bahawa jika orang ramai fokus terhadap tanggungjawab dan berkongsi tekad yang sama, maka kita semua boleh memenuhi harapan bersama.

Azneal Ishak/Malaysiakini

Secara prinsipnya, saya bersetuju bahawa Parlimen penting sebagai ruang semak dan imbang kepada Kerajaan. Prosiding Parlimen juga mustahak untuk Kerajaan berkomunikasi dan membahaskan polisi, serta mencapai persefahaman bersama anggota Parlimen tentang jalan ke hadapan yang jelas demi kepentingan rakyat Malaysia. Saya percaya, dalam mempertimbangkan ketiga-tiga pandangan saya ini, wujudnya satu syarat yang mana kita perlukan kestabilan yang mungkin membolehkan Parlimen dibuka semula. Kestabilan ini juga mungkin akan memberikan hak kepada Ahli-Ahli Parlimen untuk bertanya soalan dan Kerajaan untuk menjawab ketika sesi persidangan. Tetapi yang paling mustahak, kestabilan ini mestilah tidak dirampas.

Menteri Luar Negeri, Malaysia, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein.

Mengulas lanjut, beliau mengerti bahawa kestabilan yang diminta bukanlah untuk selamanya. Namun, sekurang-kurangnya sehingga krisis Covid-19 ini berakhir terlebih dahulu.

Rakyat tidak sepatutnya sekali lagi diheret dalam kancah perebutan kuasa

Beliau turut mempersoalkan di mana hala tuju negara sekiranya berlaku perubahan dalam landskap politik?

Adakah Pelan Pemulihan Negara yang Kerajaan sedang usahakan akan diketepikan seterusnya digantikan dengan yang baru?

BACA SINI: [TERKINI] 4 Fasa Telah Dirancang Untuk Negara Pulih Dari Covid-19 – PM

Amat jelas, pelan pemulihan Covid-19 yang tidak bersepadu tidak diperlukan.

Malah, menurutnya lagi, rakyat tidak sepatutnya sekali lagi diheret dalam kancah perebutan kuasa.

Saya sedar, ada segelintir yang memilih untuk menyerang saya secara peribadi dengan pelbagai tuduhan dan fitnah. Penyebaran berita palsu telah menjadi amalan politik di negara kita. Bagi saya, Baling Batu Sembunyi Tangan semata-mata untuk mewujudkan persepsi yang tidak baik hanyalah langkah murahan demi kepentingan sendiri. Fitnah hanyalah bertujuan mengganggu serta mengalih perhatian dari perbincangan tentang bagaimana untuk memacu negara ini ke arah yang lebih baik. Tidak nafikan yang ia mengecewakan saya – negara sedang melalui detik getir, tetapi kenapa kita terus mempolitikkan semua isu? Politik tanpa batas tidak akan membawa kita ke mana-mana.

Menteri Luar Negeri, Malaysia, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein.

Amalkan pembaharuan dalam berpolitik, bukan masih berpolitik tanpa batas

Hishamuddin dalam pada itu turut menggesa supaya ahli politik harus mengamalkan pembaharuan dalam berpolitik dan bukannya masih dengan amalan politik tanpa batas.

Ini adalah masa terbaik untuk ahli politik daripada kedua-dua belah pihak buktikan bahawa mereka boleh berperanan dengan lebih baik – serta tunjukkan kepada rakyat mereka di sini untuk berkhidmat.

Jadi, dengan kita sedang mempertimbangkan untuk membuka semula Parlimen, kita mesti bersedia. Masyarakat umum perlu faham ia tidak semudah membuka dewan dan duduk. Memandangkan kita sedang meneliti kemungkinan sesi ‘hibrid’ – Kerajaan perlu diberi ruang untuk membuat pertimbangan serta merancang kaedah dan proses demi memastikan setiap prosiding berjalan lancar. Sebagai Anggota Parlimen, sama ada menjadi lebih baik atau lebih teruk, ia bergantung kepada kita – untuk bersama-sama bertanggungjawab terhadap apa yang bakal terjadi di sesi berikutnya. Kita harus menunjukkan kepada rakyat bahawa kita berada di sini demi kepentingan mereka dan bukannya cita-cita peribadi.

Menteri Luar Negeri, Malaysia, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau turut menambah bahawa sekiranya niat pembangkang hanya ingin menggunakan Parlimen bagi mendapatkan kuasa dan bukan memanfaatkan fungsinya sebagai wacana yang membina bagi pelbagai pihak, ia akan membawa masalah.

Malah, beliau tidak menafikan pembangkang berhak mengkritik, tetapi kecelaruan politik tidak akan diterima oleh rakyat terutamanya di saat-saat yang sukar ini.


Kongsikan cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRP: FacebookTwitter, and Instagram.

View Comments (0)

Leave a Reply

Your email address will not be published.

18 − three =

© 2021 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd