Now Reading
‘Boikot Zara’ – Ketua Pereka Zara Dibidas Warganet Gara-gara Menyerang Model Palestin

‘Boikot Zara’ – Ketua Pereka Zara Dibidas Warganet Gara-gara Menyerang Model Palestin

Pereka fesyen tersebut juga mendedahkan bahawa dia turut menerima ugutan bunuh setelah isu ini mula tular.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPBM untuk updates terkini yang relevan dan menarik!


Jenama pakaian terkenal, Zara kini dikecam keras oleh orang ramai susulan Ketua Pereka Zara Women, Vanessa Perilman dikatakan telah ‘menyerang’ seorang model Palestin, Qaher Harhash di laman Instagram.

Posting tersebut telah mula tular di media sosial (Instagram, Twitter, dan Facebook) dan rata-rata orang ramai mula berasa berang akan tindakan wanita itu.

Malah, ada juga pengguna Twitter yang telah melaporkan perbuatan tersebut dengan menghantarkan e-mel kepada pihak khidmat pelanggan Zara sendiri.

“Jadi point awak di sini mahu satu dunia melihat Israel sebuah negara yang kejam terhadap Palestin?” – Vanessa Perilman.

Berikut merupakan antara mesej yang diberikan oleh Vanessa menerusi Instagram Qaher sendiri. Malah, dia juga turut menegaskan kononnya orang-orang dalam industrinya (fesyen) tahu tentang kebenaran di sebalik kekecohan antara Palestin dengan Israel dan dia akan tetap menyokong Israel sampai bila-bila.

Tambah Vanessa lagi, “Jadi, jika bangsa anda terdidik dengan baik, mereka mungkin tidak akan meletupkan hospital dan sekolah yang dibiayai Israel di Gaza. Amat berbeza sekali, Israel tidak mengajar kanak-kanak untuk membenci apatah lagi melontar batu ke arah tentera seperti yang dilakukan bangsa Palestin,” katanya melalui mesej tersebut.

“Saya minta maaf, ini bukan diri saya yang sebenar” – Vanessa Perilman.

Setelah serangan Vanessa Perilman mula viral, Qaher mengongsi tangkap layar dari perbualan susulan antara mereka. Vanessa kelihatan takut akan kehilangan kerjayanya, lalu meminta maaf kerana telah melepaskan kemarahannya pada Qaher.

Walau bagaimanapun, Qaher menuntut pihak Zara untuk meminta maaf secara formal dan mengecam semua retorik Islamofobia dan anti-pribumi.

Sejak kejadian tersebut, Qaher meminta pengikutnya untuk memboikot jenama tersebut dengan menggunakan hashtag #BoycottZara, yang sudah menjadi trend kerana jenama fesyen itu masih belum mengambil apa-apa tindakan terhadap Vanessa.

Kenyataan Vanessa itu amat sukar dimaafkan oleh penyokong Palestin dan rata-rata mereka mahu memboikot segala produk keluaran Zara. Setakat ini, Vanessa dikatakan telah memadam segala akaun media sosial miliknya termasuk akaun Instagram.


Kongsikan cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRP: FacebookTwitter, and Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd