Now Reading
[PENDAPAT] Boikot Atas Dasar Yang Betul

[PENDAPAT] Boikot Atas Dasar Yang Betul

BDS menegaskan prinsip bahawa rakyat Palestin berhak mendapat hak yang sama dengan umat manusia yang lain.

Jangan lupa follow channel Telegram kami untuk berita dan cerita terkini yang baru dan menarik!


Oleh:
Professor Mohd Nazari Ismail, Ph.D.
Pengerusi,
Boycott, Divestment, Sanctions (Malaysia)


Pengeboman tanpa berperikemanusiaan oleh tentera Israel terhadap Gaza yang telah berlaku sejak minggu lepas telah mengakibatkan kematian ratusan orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak. Objektif mereka adalah jelas iaitu untuk menghapuskan pertubuhan Hamas dan penyokongnya. Namun, dalam masa yang sama tindakan Israel tersebut telah berjaya membuka mata orang ramai di seluruh dunia terhadap ciri-ciri sebenar kerajaan dan masyarakat Israel.

Kini, semakin jelas bahawa keutamaan Israel adalah semata-mata kesejahteraan rakyat Yahudi mereka sendiri. Kebebasan, keadilan dan hak asasi manusia, terutamanya hak rakyat Palestin, adalah langsung bukan dalam pertimbangan mereka.

Sebenarnya, inilah punca utama mengapa masalah di Palestin wujud semenjak Palestin dijajah pada tahun 1948 sehingga sekarang

Zionis dari Eropah telah datang ke Palestin secara beramai-ramai pada awal abad ke-20 dengan objektif untuk mendirikan tanah air bagi orang-orang Yahudi sahaja.

Mereka juga telah memutuskan bahawa tidak ada tempat bagi orang-orang bukan Yahudi di tanah air mereka itu. Dengan itu, tanpa menghormati prinsip keadilan dan hak asasi manusia, mereka mulai membunuh dan mengusir penduduk pribumi Palestin.

Malang bagi mereka, rakyat Palestin yang mempunyai semangat juang yang tinggi telah menentang usaha tersebut daripada dahulu sehingga ke hari ini. Oleh sebab itulah mereka telah bertindak kejam terhadap warga Palestin sama ada di wilayah Palestin asal (kini dipanggil Israel), di Tebing Barat dan juga di Gaza.

Kini gambaran tentang siapa penindas dan siapa mangsa telah menjadi semakin jelas. Oleh yang demikian, masyarakat awam yang mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi di seluruh dunia telah berasa terpanggil untuk memberikan sumbangan ke arah keadilan bagi rakyat Palestin.

Masyarakat awam ini juga menyedari bahawa kerajaan di seluruh dunia, termasuk dari negara-negara Islam dan bahkan juga daripada Pihak Berkuasa Palestin (PA) tidak terlalu berminat untuk bertindak tegas terhadap kekejaman Israel.

Menyedari hal ini, maka masyarakat sivil Palestin semenjak dari tahun 2005 lagi telah memulakan gerakan untuk kebebasan, keadilan dan kesaksamaan bagi rakyat Palestin yang disebut Boycott, Divestment and Sanctions atau ringkasnya BDS.

BDS menegaskan prinsip bahawa rakyat Palestin berhak mendapatkan hak yang sama dengan rakyat lain di seluruh dunia. Gerakan BDS diilhamkan oleh gerakan anti-aparteid Afrika Selatan dan fokus utamanya adalah melakukan tindakan untuk memberi tekanan terhadap Israel agar mematuhi undang-undang antarabangsa.

BDS kini merupakan gerakan global yang terdiri daripada pelbagai persatuan, ahli akademik, gereja dan gerakan akar umbi di seluruh dunia.

Tuntutan utama gerakan BDS terhadap Israel adalah:

  1. Menamatkan penjajahan di seluruh tanah Arab, menghapuskan tembok pemisah dan menghentikan sekatan terhadap Gaza.
  2. Menghormati hak-hak asasi rakyat Arab-Palestin di tanah asal Palestin (kini di panggil Israel) sehingga mendapat kesaksamaan sepenuhnya
  3. Menghormati, melindungi dan mempromosikan hak-hak pelarian Palestin untuk kembali ke rumah dan tanah air mereka seperti yang ditetapkan dalam Resolusi 194 oleh PBB.

Selagi syarat di atas tidak dipenuhi, BDS menyeru orang awam yang berhati nurani di seluruh dunia untuk memboikot Israel, syarikat Israel dan juga syarikat-syarikat yang terlibat dengan kekejaman Israel dalam melakukan pelanggaran hak asasi manusia terhadap rakyat Palestin.

Pilihan syarikat yang perlu diboikot mestilah berdasarkan keterlibatan mereka dengan kezaliman yang dilakukan oleh Israel dan bukan semata-mata kerana mereka adalah syarikat Amerika atau Eropah. Lebih-lebih lagi, kerana ini adalah masalah pelanggaran hak asasi kemanusiaan dan bukan konflik antara agama. Oleh yang demikian adalah salah sekiranya usaha boikot dilakukan terhadap syarikat hanya kerana mereka dimiliki oleh orang bukan Islam.

Perjuangan untuk kebebasan, keadilan dan kesaksamaan di Palestin kini merupakan usaha global yang disokong oleh masyarakat awam daripada seluruh dunia. Sebarang percubaan untuk merampas dan mengubahnya menjadi konflik perkauman atau konflik agama yang sempit mesti dikutuk tanpa syarat.


Profesor Mohd Nazari Ismail adalah Pengerusi BDS (Boycott, Divestment, Sanctions Malaysia). Semua pendapat yang tertulis adalah miliknya dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pihak TRP.

Untuk mengetahui maklumat lanjut tentang BDS, anda boleh layari laman web BDS Movement.


Jika anda ingin berkongsi pendapat bersama kami, boleh hantarkan e-mel ke editorial@therakyatpost.com dengan tajuk “OPINION” atau “PENDAPAT”: atau melalui media sosial kami TRPBM: FacebookTwitter dan Instagram.


Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd